TUMBUH UNTUK SEMBUH : NILAI SEORANG WANITA

3/07/2023 09:36:00 pm

Ada hari, kita okay. Tapi sebenarnya, tidak.


Siapa sangka, dan tiada siapa yang mampu menduga. Ternyata takdir Tuhan itu terlalu indah untuk disusun, terutamanya buat si bongsu abah ini. Begitulah kitaran kehidupan. Pelangi itu tidak akan pernah muncul jika hujan tidak berlalu pergi. Kita sering memuja keindahan warna di langit, namun kita lupa bahawa tanpa titisan hujan yang mendinginkan bumi, pelangi itu tidak akan ada lakaran ceritanya. Jika pelangi itu sentiasa ada, kita pasti tidak akan teruja, kerana manusia seringkali terlepas pandang pada nikmat yang sentiasa di depan mata.


Di penghujung tahun dua kosong dua dua yang lalu, aku melangitkan doa dengan penuh harapan. Aku meminta agar setiap titis kesedihan itu diangkat, dikabulkan segala hajat yang tertunda, dan di tahun dua kosong dua tiga, aku mendambakan hadirnya tawa yang paling ikhlas.


Namun, Tuhan memberikan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar tawa. DIA memberikan aku sebuah 'pendidikan hati'.


Tahun ini ternyata berbeza. 


Ujian yang hadir bukan untuk menjatuhkan, tetapi sebagai tarbiyah terindah untuk mendidik diri agar tidak lagi berpaut pada dahan yang rapuh. Sebagai seorang wanita yang ingin mengenal nilai diri, aku belajar bahawa meletakkan harapan pada manusia hanya akan mengundang kecewa. Maka, aku memilih untuk memulangkan segala rasa hanya kepada pemilik Nya.


Hanya Allah. Kerana di titik paling rendah itulah, aku menemukan kekuatan yang paling tinggi.


Sungguh, setiap ujian yang menghimpit itu sebenarnya adalah jemputan daripadaNya untuk kita kembali dekat kepada Illahi Rabbi. Di sinilah letaknya nilai seorang wanita, bukan pada bagaimana dia dipuja oleh dunia, tetapi pada sejauh mana dia mampu berdiri teguh dengan iman saat badai melanda.


Semoga aku tidak akan membiarkan diri hanyut dalam arus emosi yang tidak menentu. Tidak menjadi hamba kepada rasa sedih yang membinasakan. Sebaliknya, mengambil setiap luka itu,  dengan berdoa menjadikannya baja untuk terus mekar.


Teruslah mendidik hati untuk menjadi sekuat ini. Jangan biarkan logik akalmu dikalahkan oleh kerapuhan emosi. Teruslah tumbuh, walau dalam kepayahan, kerana proses kesembuhan itu bermula apabila kita memilih untuk bangkit dengan maruah dan prinsip.


Aku adalah si bongsu abah, yang kini sedang mengutip sisa-sisa kekuatan dari setiap kejatuhan. Aku tidak hanya mahu kembali sembuh, aku mahu tumbuh menjadi versi diriku yang terbaik, yang hanya tunduk pada-Nya dan yang tahu bahawa harga dirinya tidak terletak pada pandangan manusia, tetapi pada pandangan Tuhan.


Rupanya, bukan semua benda perlu difahami.

Ada yang cukup, dilepaskan.

Teruslah tumbuh untuk sembuh!




 



You Might Also Like

2 komen