TERHENTI TANPA AKU AKHIRI

5/05/2024 09:16:00 pm

Benda paling penat, adalah pura pura kuat.


Lama memendam rasa, mengunci kemas duka di dalam ruang paling sunyi. Ada masanya, beban itu terasa begitu menghimpit sehingga aku tersungkur ke bumi. Kaku dan layu, seolah-olah seluruh kudratku hilang, walau ada tangan-tangan yang cuba memapahku bangun.


Tangki emosi yang dahulunya penuh, kini telah lama kering. Tiada lagi sisa yang tinggal untuk dikongsi. Aku kini berada di satu titik di mana kesunyian terasa lebih akrab dan menenangkan. Namun, aku juga manusia biasa. Di celah-celah keinginan untuk menyendiri, terselit sekelumit damba untuk didampingi. Bukan sekadar peneman bicara, tetapi seseorang yang sanggup menyelami dasar jiwa dan berkongsi setiap cebisan hidup ini.


Dunia hari ini sering kali terasa dingin. Ramai yang melihat, namun sedikit yang benar-benar peduli. Empati seolah-olah menjadi barang mewah yang jarang ditemui.


Manusia sering hadir hanya sebagai tetamu bermusim. Mereka menghampiri apabila kamu punya identiti dan kasta, lalu menjauh saat cahaya mu mula pudar. Kerana sudah terbiasa dengan corak dunia yang begini, aku memilih untuk memujuk hati sendiri. Berkali-kali, tanpa henti!


Yakin, masa itu akan tiba. 


Aku hanya perlu bertahan, menjadi sedikit lebih kuat dan bersabar sedikit masa lagi Sebelum ada yang hadir untuk memeluk hati ini, biarlah aku terus memeluk diri sendiri, menghargai luka dan memulihkan sisa-sisa semangat yang masih berbaki.


Aku belajar, tak semua kehilangan itu rugi..


You Might Also Like

0 komen