DARI HANCUR KE PULIH : AKU DIPULANGKAN KEPADA DIRIKU SENDIRI

5/03/2026 03:57:00 pm

Iya, benar.
Itulah titik permulaan kepada terbongkarnya segala yang selama ini aku tidak mahu lihat.


Malam itu, aku memilih untuk kembali kepada-Nya.


Solat sunat taubat aku dahulukan, memohon keampunan dengan hati yang rapuh. Disusuli solat sunat istikharah, menyerahkan segala pilihan kepada Allah. Aku akhiri dengan solat sunat hajat, meminta dengan penuh pengharapan agar Allah membuka jalan dan menunjukkan jawapan kepada segala ketidakpastian.


Masih aku ingat setiap pesanan murabbi.

Sesakit mana pun hati, berzikirlah sehingga diri terasa letih dan longlai. Di situlah Allah akan turunkan kekuatan yang tidak disangka.

Aku tidak sedang kehilangan cinta.
Aku sedang dipulangkan kepada diri sendiri.

Kaki terasa lemah melangkah, jiwa seakan hancur tanpa sempat memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku. Fikiran pula tidak berhenti berputar. Apa, kenapa, dan di mana silapnya. 


Aku bangkit perlahan, memapah dinding sebagai satu satunya sandaran, mencari sisa kekuatan untuk terus berdiri dalam kehidupan yang tiba tiba terasa asing.


Dan benar, jiwa itu dikuatkan dengan solat dan zikir. Bukan kerana aku kuat, tetapi kerana Allah tidak pernah meninggalkan hamba yang kembali dalam keadaan jatuh.


Allah Maha Adil.


Dan dari keadilan itu, Dia mula membuka satu demi satu jawapan yang selama ini aku cari dalam gelap. Dada terasa sesak, tubuh menggeletar apabila apa yang aku lihat akhirnya mengesahkan apa yang selama ini cuba aku nafikan. Orang yang pernah aku sayang, kini terasa asing seperti hanya tinggal kenangan yang tidak lagi sama maknanya.


Namun dari perit itu, aku mula belajar sesuatu yang lebih dalam.
Aku belajar untuk kembali menyayangi diri sendiri.


Kerana bila kita mula menghargai diri, kita tidak lagi mudah menerima cinta yang melukakan. Kita mula memilih dengan lebih sedar, bukan sekadar kerana rasa tetapi kerana nilai. Kita tidak lagi mengejar orang yang hanya singgah, tetapi mula mencari yang benar benar tinggal dan menghargai.


Sayangi diri itu bukan sekadar kata-kata. Ia hadir bila kita mula memilih ketenangan daripada kekacauan, memilih kejujuran daripada janji kosong, memilih untuk dihargai daripada sekadar diperlukan, dan memilih untuk tidak kehilangan diri sendiri demi seseorang yang tidak tahu menjaga kita. 


Perlahan lahan, semua itu mengajar bahawa diri sendiri juga layak dipelihara, bukan dikorbankan tanpa batas.


Kerana bila kita benar benar menyayangi diri, Allah akan hadirkan insan yang juga tahu menghargai kita dengan cara yang betul.


Dan di situlah aku mula mengenal erti tenang yang sebenar.


Perlahan lahan, Allah hadirkan seseorang yang tidak banyak kata, tetapi cukup untuk membuat aku faham bahawa cinta tidak sepatutnya menyakitkan untuk dianggap benar. Seseorang yang hadir bukan untuk mengubah aku, tetapi untuk mengingatkan aku kembali tentang nilai diri yang hampir aku lupakan.


Dia hadir dengan cara yang sederhana, tetapi cukup untuk mengajar aku bahawa dihargai itu tidak perlu diperjuangkan terlalu keras. Dia tidak memaksa aku menjadi orang lain, tidak membuat aku ragu dengan diri sendiri, dan tidak membuat aku takut untuk menjadi diri aku yang sebenar.


Aku belajar bahawa cinta yang baik itu menenangkan, bukan menyesakkan. Ia menguatkan, bukan melemahkan.


Dan ketika itu, aku sedar.


Dari situ, aku mula faham bahawa tidak semua kehadiran perlu diumumkan dengan kata kata besar. Ada yang cukup sekadar hadir, dan itu sudah memberi makna.


Semoga masih ada bahagia yang tersisa untuk aku perjuangkan bersama orang yang tepat, orang yang Allah izinkan untuk terus tinggal, bukan sekadar singgah.


TERHENTI TANPA AKU AKHIRI

5/05/2024 09:16:00 pm

Benda paling penat, adalah pura pura kuat.


Lama memendam rasa, mengunci kemas duka di dalam ruang paling sunyi. Ada masanya, beban itu terasa begitu menghimpit sehingga aku tersungkur ke bumi. Kaku dan layu, seolah-olah seluruh kudratku hilang, walau ada tangan-tangan yang cuba memapahku bangun.


Tangki emosi yang dahulunya penuh, kini telah lama kering. Tiada lagi sisa yang tinggal untuk dikongsi. Aku kini berada di satu titik di mana kesunyian terasa lebih akrab dan menenangkan. Namun, aku juga manusia biasa. Di celah-celah keinginan untuk menyendiri, terselit sekelumit damba untuk didampingi. Bukan sekadar peneman bicara, tetapi seseorang yang sanggup menyelami dasar jiwa dan berkongsi setiap cebisan hidup ini.


Dunia hari ini sering kali terasa dingin. Ramai yang melihat, namun sedikit yang benar-benar peduli. Empati seolah-olah menjadi barang mewah yang jarang ditemui.


Manusia sering hadir hanya sebagai tetamu bermusim. Mereka menghampiri apabila kamu punya identiti dan kasta, lalu menjauh saat cahaya mu mula pudar. Kerana sudah terbiasa dengan corak dunia yang begini, aku memilih untuk memujuk hati sendiri. Berkali-kali, tanpa henti!


Yakin, masa itu akan tiba. 


Aku hanya perlu bertahan, menjadi sedikit lebih kuat dan bersabar sedikit masa lagi Sebelum ada yang hadir untuk memeluk hati ini, biarlah aku terus memeluk diri sendiri, menghargai luka dan memulihkan sisa-sisa semangat yang masih berbaki.


Aku belajar, tak semua kehilangan itu rugi..


TUMBUH UNTUK SEMBUH : NILAI SEORANG WANITA

3/07/2023 09:36:00 pm

Ada hari, kita okay. Tapi sebenarnya, tidak.


Siapa sangka, dan tiada siapa yang mampu menduga. Ternyata takdir Tuhan itu terlalu indah untuk disusun, terutamanya buat si bongsu abah ini. Begitulah kitaran kehidupan. Pelangi itu tidak akan pernah muncul jika hujan tidak berlalu pergi. Kita sering memuja keindahan warna di langit, namun kita lupa bahawa tanpa titisan hujan yang mendinginkan bumi, pelangi itu tidak akan ada lakaran ceritanya. Jika pelangi itu sentiasa ada, kita pasti tidak akan teruja, kerana manusia seringkali terlepas pandang pada nikmat yang sentiasa di depan mata.


Di penghujung tahun dua kosong dua dua yang lalu, aku melangitkan doa dengan penuh harapan. Aku meminta agar setiap titis kesedihan itu diangkat, dikabulkan segala hajat yang tertunda, dan di tahun dua kosong dua tiga, aku mendambakan hadirnya tawa yang paling ikhlas.


Namun, Tuhan memberikan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar tawa. DIA memberikan aku sebuah 'pendidikan hati'.


Tahun ini ternyata berbeza. 


Ujian yang hadir bukan untuk menjatuhkan, tetapi sebagai tarbiyah terindah untuk mendidik diri agar tidak lagi berpaut pada dahan yang rapuh. Sebagai seorang wanita yang ingin mengenal nilai diri, aku belajar bahawa meletakkan harapan pada manusia hanya akan mengundang kecewa. Maka, aku memilih untuk memulangkan segala rasa hanya kepada pemilik Nya.


Hanya Allah. Kerana di titik paling rendah itulah, aku menemukan kekuatan yang paling tinggi.


Sungguh, setiap ujian yang menghimpit itu sebenarnya adalah jemputan daripadaNya untuk kita kembali dekat kepada Illahi Rabbi. Di sinilah letaknya nilai seorang wanita, bukan pada bagaimana dia dipuja oleh dunia, tetapi pada sejauh mana dia mampu berdiri teguh dengan iman saat badai melanda.


Semoga aku tidak akan membiarkan diri hanyut dalam arus emosi yang tidak menentu. Tidak menjadi hamba kepada rasa sedih yang membinasakan. Sebaliknya, mengambil setiap luka itu,  dengan berdoa menjadikannya baja untuk terus mekar.


Teruslah mendidik hati untuk menjadi sekuat ini. Jangan biarkan logik akalmu dikalahkan oleh kerapuhan emosi. Teruslah tumbuh, walau dalam kepayahan, kerana proses kesembuhan itu bermula apabila kita memilih untuk bangkit dengan maruah dan prinsip.


Aku adalah si bongsu abah, yang kini sedang mengutip sisa-sisa kekuatan dari setiap kejatuhan. Aku tidak hanya mahu kembali sembuh, aku mahu tumbuh menjadi versi diriku yang terbaik, yang hanya tunduk pada-Nya dan yang tahu bahawa harga dirinya tidak terletak pada pandangan manusia, tetapi pada pandangan Tuhan.


Rupanya, bukan semua benda perlu difahami.

Ada yang cukup, dilepaskan.

Teruslah tumbuh untuk sembuh!